PETALING JAYA – Isu undi percaya yang dibangkitkan blok pembangkang tidak disentuh dalam titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagaimanapun menegaskan supaya semua pihak memberi fokus ke arah menangani cabaran krisis kesihatan Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
“Negara dan rakyat Beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.
“Terlalu ramai rakyat Beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini, terlalu ramai juga rakyat beta yang telah kehilangan sumber rezeki, ” titah baginda di Parlimen hari ini.
Baginda turut menggesa supaya semua Ahli-ahli Parlimen supaya tidak meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
“Nasihat Beta kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan sama-sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
“Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” tutah baginda lagi.
Tuanku juga menyeru agar semua pihak berhenti daripada berterusan bertelagah dan menyeru mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain.
“Beta menyeru agar sebarang bibit-bibit pertelingkahan hendaklah segera dihenti-kan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu,” titah baginda lagi.
Untuk rekod, sidang kali ini merupakan yang pertama sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin yang meletak jawatan.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929