fbpx

Libat urus peniaga, pengeluar tangani isu harga ayam, telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang telah dilaksanakan ketika musim perayaan besar di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

KPDNHEP sebaliknya akan menggunakan pendekatan baharu membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu bertujuan untuk membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah.

Beliau berkata, pendekatan itu juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya.

“Jika peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum atau pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat.

“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga
munasabah atau terdapatnya kartel yang memanipulasi harga di semua peringkat rantaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP akan mengadakan perbincangan secara berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan faktor huluan dapat diminimumkan dan terurus.

Beliau berkata, ia termasuklah harga dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan harga anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat hiliran.

KPDNHEP juga katanya, mencadangkan supaya pihak penternak memberi kerjasama supaya harga anak ayam tidak dinaikkan mendadak dalam julat masa singkat bagi mengelakkan berlaku tekanan harga di peringkat borong dan runcit ketika ini. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI