ISKANDAR PUTERI – Sejarah baharu Liga Super tercipta setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya bergelar juara buat musim kelapan berturut-turut selepas tamat aksi menentang KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Pada perlawanan itu menyaksikan JDT melebarkan rekod tanpa kalah kepada 11 perlawanan selepas menewaskan The City Boys 2-1, sekali gus melengkapkan malam gemilang skuad Harimau Selatan menjulang piala Liga Super musim ini.
Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah tampak lebih dominan berbanding pasukan pelawat yang lebih ghairah melakukan serangan ke kubu lawan.
Percubaan tepat ke arah gol hadir pada minit ketiga menerusi sepakan gunting tetapi percubaan tersebut berjaya ditepis penjaga gawang, Kevin Mendoza.
Kekebalan benteng ampuh KL City hanya bertahan 15 minit sahaja apabila berjaya dibolosi hasil jaringan Nazmi Faiz Mansor yang menyudahkan hantaran jauh Shane Lowry.
Lowry hampir memahatkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-19 namun tandukannya sedikit tersasar dari palang gol.
Skuad kendalian Bojan Hodak berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-24 hasil jaringan Muhammad Izreen yang menghukum kealpaan lawan.
Safee Sali yang pantas mengambil sepakan sudut dengan mengumpan Shahrul Azim Ab Hakim yang menguis bola kepada Izreen yang tidak dikawal melepaskan rembatan lerek menewaskan Farizal Marlias.
Syafiq Ahmad yang diturunkan dalam kesebelasan utama itu mensia-siakan peluang keemasan untuk menambah jaringan apabila hantaran lintang Matt Davies namun rembatannya lemah dan tersasar dari sasaran.
Bergson Da Silva yang membawa misi memburu kasut emas membuat percubaan dengan melakukan rembatan dari luar kotak penalti sedikit tersasar pada akhir babak pertama.
Skuad kendalian Benjamin Mora meningkatkan tempo permainan bagi memburu gol selain membawa masuk Safiq Rahim bagi menyuntik idea baru dalam mengatur gerak jentera serangan.
Kemasukan Safiq menguntumkan hasil apabila hantarannya ke dalam kotak penalti mencari Bergson tertampan masuk oleh Nik Shahrul Azim ke dalam gawang sendiri.
Hasrat Bergson untuk menghidupkan peluang memenangi kasut emas lebur apabila gagal mencipta jaringan pada perlawanan tersebut. – K! ONLINE