LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta akhirnya menarik nafas lega selepas merakam kemenangan pertama dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan menewaskan Norwich City 1-0 di Stadium Emirates kelmarin.
The Gunners yang memulakan kempen musim ini dengan tiga kekalahan berturut-turut tanpa menjaringkan sebarang gol, berjaya memungut tiga mata berharga menerusi jaringan tunggal kapten, Pierre-Emerick Aubameyang.
Kata Arteta, apa yang diharungi pasukan sepanjang dua minggu lalu adalah detik terbaik dalam kariernya sejak dilantik sebagai pengurus Arsenal pada tahun 2019 kerana kesungguhan dan komitmen tinggi ditunjukkan semua pemain.
“Ini adalah detik terbaik saya sepanjang membimbing Arsenal kerana rintangan yang kami hadapi sejak awal musim cukup sukar dan mencabar. Barisan pemain juga sangat beremosi untuk memastikan kemenangan berjaya dicapai.
“Saya lihat semua pemain berusaha keras sepanjang 90 minit perlawanan untuk menamatkan kemarau kemenangan kami. Ini adalah hadiah buat para penyokong yang sentiasa bersabar dan berdiri di belakang kami musim ini,” katanya.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu turut memuji prestasi meyakinkan yang dipamerkan penjaga gol keduanya, Aaron Ramsdale selepas diberi tanggungjawab menggantikan tempat pilihan utama, Bernd Leno dalam aksi kelmarin.
“Ramsdale beraksi dengan baik dan saya lihat dia cukup tenang di atas padang. Dia juga memiliki keupayaan mengawal bola dan melakukan hantaran dengan baik.
“Namun, ia tidak bermakna Ramsdale akan kekal menjadi penjaga gol No. 1 pasukan kerana dia dan Leno perlu terus bekerja keras untuk membuktikan keupayaan masing-masing,” katanya. – AGENSI