Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Pegawai polis yang maut malam kelmarin sempat menikmati makan malam terakhir bersama isteri dan anak tunggal mereka berusia empat bulan sebelum dirempuh penunggang motosikal yang berada di bawah pengaruh dadah di Jalan Padang Katong di sini.
Mangsa, Khairil Muzzammir Abdullah Sani, 33, yang berpangkat Inspektor dan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kangar juga sempat memasak nasi sementara menunggu isterinya, Nur Iwana Yazid, 34, menyediakan ayam masak kicap dan kacang bendi goreng.
Nur Iwana berkata, suaminya yang berasal dari Pahang itu juga berpesan bahawa dia akan makan sekali lagi selepas pulang daripada operasi kelak.
“Dia makan malam, namun tidak bertambah pun sebab dia kata nanti selepas balik operasi mahu makan lagi. Malam tadi (kelmarin) saya sempat juga bertanya sama ada mahu saya hantar ke tempat kerja berikutan hari hujan.
“Namun, dia kata tidak perlu sebab hujan pun dah berhenti. Kira-kira pukul 9.30 malam dia keluar dengan memakai baju sejuk warna merah dan itulah kali terakhir saya melihatnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Pauh, di sini semalam.
Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya, di sini kira-kira pukul 3 petang semalam.
Menurut Nur Iwana yang bertugas sebagai pegawai psikologi di Jabatan Kesihatan negeri, walaupun mereka sudah berkahwin selama empat tahun, namun mereka hanya sempat tinggal bersama sejak dua tahun lalu.
“Dia sebelum ini bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah Tuaran, Sabah,” katanya.
Jelasnya, Khairil sangat teruja apabila mereka menimang cahaya mata pertama, Adam Mikhael pada April lalu selepas empat tahun berkahwin.
“Kalau nak cakap tentang petanda, baru-baru ini kembar suami saya ada mimpi suami kemalangan dan adik saya pula mimpi yang suami saya meninggal dunia. Tapi kita tak bolehlah nak percaya benda-benda macam ini.
“Saya reda dengan dugaan ini kerana sekurang-kurangnya ada Adam Mikhael sebagai pewaris bapanya untuk mengubat rindu pada arwah,” ujarnya selain berharap kes suaminya akan diadili dengan sebaiknya.