fbpx

Vaksin diakui selamat untuk pelajar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Data perubatan menunjukkan vaksin jenis Pfizer dan Sinovac selamat untuk digunakan ke atas pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya. Dr. Yahya Mat Arip berkata, dari segi keberkesanan dan risiko kesan sampingannya adalah sama se­perti golongan dewasa.

“Sebelum ini dilaporkan vaksin Pfizer berkemungkinan boleh menyebabkan masalah jantung, myocarditis dan pericarditis, tetapi dengan risiko yang sangat rendah.

“Mengikut data keberangkalian kanak-kanak mendapat myocarditis disebabkan oleh Covid-19 adalah lebih tinggi berbanding disebabkan oleh vaksin Pfizer,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini me­ngumumkan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun akan dilakukan serentak dengan pembukaan sesi persekolahan bermula 3 Oktober ini.

Dalam pada itu, Yahya berkata, vaksinasi ke atas golongan pelajar sekolah diperlukan bagi melindungi mereka daripada va­rian Delta yang boleh menyebabkan jangkitan lebih teruk.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi Jabatan Perubatan Kesihatan & Pencegahan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Noran Naqiah Hairi turut berpandangan vaksin selamat untuk diberikan kepada golongan remaja.

Menurut beliau, vaksin yang akan diberi kepada remaja di Malaysia adalah Pfizer dan vaksin itu telah diberi kepada lebih 10 juta remaja di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, Israel dan Singapura.

Jelas beliau, kajian klinikal dan ‘real world experience’ melaporkan vaksin itu adalah selamat digunakan dan jika ada kesan sampingan melibatkan kesan ringan seperti sakit pada tempat suntikan, demam dan kepenatan terutama selepas dos kedua.

“Kesan sampingan yang teruk dan alergi jarang berlaku (anggaran 1 dalam 100,000). Sekolah akan dibuka dan dengan pengambilan vaksin risiko jangkitan yang teruk akan menurun jika seseorang remaja itu telah divaksinasi seperti orang dewasa.

“Kesan sampingan yang perlu diberi perhatian adalah myocarditis, namun boleh dicegah dengan mengenal pasti golo­ngan yang berisiko tinggi membabitkan remaja lelaki dan beri nasihat jangan mengamalkan senaman lasak dalam tempoh se­minggu selepas divaksin.

“Perlu juga diketahui bahawa risiko myocarditis boleh berlaku dalam anggaran yang lebih tinggi sekiranya seseorang remaja itu dijangkti Covid-19. Myocarditis kesan sampingan Pfizer (1:20,000 selepas dos kedua) dan myocarditis sekiranya dijangkiti ­Co­vid-19 (1:3,000),” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Mikrobiologi Ins­titut Sains Biologi Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr. Jasmine Elanie Khairat berkata, data yang lebih menyeluruh perlu dipe­roleh daripada pengeluar vaksin mengenai kesan pengunaannya kepada kanak-kanak berusia bawah usia 12 tahun.

Katanya, data tentang penggunaan vaksin ke atas peringkat umur tersebut masih terhad dan tidak disarankan buat masa ini di­sebabkan imun badan mereka berbeza dengan orang dewasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI