ST. LOUIS, Missouri – Seorang wanita muda berusia 27 tahun mengambil keputusan nekad memandulkan diri sendiri kerana yakin tidak mahukan anak sampai bila-bila, lapor akhbar Mirror UK, semalam.
Katelyn Stoewsand mengambil keputusan untuk menjalani prosedur membuang kedua-dua tiub fallopionya dua tahun lalu bagi memastikan dia tidak boleh hamil secara semula jadi.
Prosedur dijalani oleh Stoewsand disebut salpingektomi iaitu pembedahan bagi membuang satu atau dua salur peranakan wanita.
“Saya tahu sejak dahulu bahawa saya tidak mahukan anak kerana saya tidak sukakan mereka. Saya kurang sabar melayan kanak-kanak dan jarang bergaul dengan orang yang mempunyai anak.
“Namun sebab utama saya tidak mahukan anak adalah kerana saya tidak mahu korbankan masa terluang saya dan mahu membelanjakan wang untuk diri sendiri sahaja,” ujarnya.
Selain itu, ibu Stoewsand juga menyokong keputusannya untuk tidak mahukan anak dan menghormati pendirian tersebut.
Wanita itu berasakan setiap pilihan yang dibuat oleh individu sama ada mahukan anak atau tidak perlu dihormati kerana tujuan hidup setiap orang adalah berbeza.
“Jika anda masih tidak pasti adakah anda mahukan anak atau tidak, nasihat saya jangan lakukan pemandulan kerana tindakan ini tidak boleh diubah,” tegas Stoewsand. – Agensi