fbpx

Karier bermula lewat, Husna Mustaffa tiada sesalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUSNA MUSTAFFA

KEHADIRAN selebriti wanita berimej sopan dan bertudung mewarnai dunia hiburan tanah air bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Nama-nama seperti Mira Filzah, Ummi Nazeera, Zulin Aziz, Wan Sharmila, Elfira Loy juga punya kedudukan tersendiri. Biarpun ada yang memulakan rentak tanpa hijab, namun perubahan imej tidak mencarikkan pengaruh mereka di mata peminat.

Terbaharu, kehadiran pelakon yang menggunakan nama pentas sebagai Husna Mustaffa turut mencuri perhatian.

BAGI Husna, penglibatannya sebagai pelakon merupakan satu kepuasan peribadi yang ingin dicapai selama ini.

Memulakan kerjaya sebagai model busana Muslimah dan meraih populariti dalam media sosial sekitar tahun 2015, kini Husna mula mengalirkan pesonanya ke dunia lakonan.

Agak terlewat, namun pemilik nama lengkap Sharifah Husna Syed Mustaffa itu tidak pernah menyesali corak percaturan hidupnya sebagai anak seni.

Statusnya yang sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata juga sama sekali tidak pernah disembunyikan daripada pengetahuan peminat.

Terlewat usia, anak dua

“Saya bernikah pada usia 22 tahun. Kini saya sudah berusia 34 tahun. Suami pula dua tahun lebih tua daripada saya.

“Saya berkahwin betul-betul selepas tamat pengajian di sebuah universiti. Kami dikurniakan dua orang anak.

MENYERTAI dunia glamor ketika usia 30-an, sudah berkahwin dan beranak dua mungkin agak terlewat untuk Husna menempa populariti segera, namun bakat membawa namanya untuk semakin dikenali ketika ini.

“Selama ini pun saya tak pernah menyembunyikan status diri dan foto-foto yang dikongsi dalam media sosial. Saya percaya rezeki semuanya datang dari Allah.

“Suami pun menjadi penyokong dan tidak pernah menghalang apa yang saya lakukan selama ini. Dia tidak pernah menghalang minat saya. Dari zaman sebelum berlakon, sibuk dengan uji bakat peragaan dan iklan komersial, dialah yang setia menemani,” katanya membuka bicara.

Anak kelahiran Johor Bahru itu buat kali pertama muncul sebagai heroin drama menerusi naskhah berjudul Mencari Kiblat Cinta yang baru sahaja selesai bersiaran menerusi saluran TV Okey.

Drama 26 episod terbitan NS Star Studio milik Darling Ngasri itu turut dibintangi beberapa nama hebat lain seperti Syazuwan Hassan dan Shah Hazvee.

Wanita yang pernah bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan di sebuah universiti itu mengakui, ketika memutuskan langkah terjun ke bidang lakonan, suaminya agak berat hati untuk memberi keizinan.

BERGELAR isteri dan ibu kepada dua cahaya mata tidak menghalang Husna melunaskan impiannya bergelar seorang pelakon.

“Saya percaya dia ada alasan tersendiri untuk mempertimbangkan keputusan saya bergelar pelakon. Saya yakinkan dia yang saya boleh berlakon.

“Alhamdulillah hingga saat ini, dialah yang tidak henti-henti memberi semangat untuk saya berjaya dalam lakonan. Cuma saya harus tahu batas sebagai isteri yang mencari rezeki sebagai pelakon,” ujarnya.

Pernah muncul sebagai model video muzik berjudul Satu nyanyian Najwa Latif, Husna mengakui, dia juga melalui tempoh sukar untuk memastikan kehadirannya disedari umum.

“Maklumlah saya bermula di ambang usia 30-an, selain sudah berkahwin. Sukar juga untuk memecah tembok itu. Namun lama-kelamaan, saya cuba manfaatkan peluang yang telah diberikan dengan sebaik mungkin.

“Dari situ, ramai sedar saya menunjukkan komitmen tinggi. Cuma saya tak menyasarkan populariti, cukup jika bakat ini diterima dan dihargai. Kalau popular itu satu bonus,” katanya.

Kepercayaan, teruja

Berkongsi mengenai kepercayaan yang diberikan kepadanya melakonkan watak Danira menerusi drama Mencari Kiblat Cinta, Husna berkata, peluang tersebut cukup mengujakan.

“Teruja dan gementar sebab kali pertama jadi heroin drama bersiri. Sebelum ini setakat heroin dalam telefilem saja.

“Tapi saya cabar diri dan dengan sokongan penerbit, pihak produksi, kru dan pelakon lain, alhamdulillah semua jadi okey.

SEBAGAIpelakon, Husna mengakui masih terlalu banyak perkara perlu diterokai dan kekurangan yang perlu diperbaikinya.

“Jujur banyak lagi perkara yang saya perlu perbaiki. Saya akui kelemahan yang ada dan tidak boleh hanya duduk diam dan selesa pada tahap ini,” kata Husna sambil menyifatkan Danira sebagai watak idamannya.

Ditebak tentang pendekatannya meneruskan kelangsungan hidup semasa banyak peluang lakonan tertutup sepanjang pandemik, Husna mengalihkan tumpuannya dengan menjalankan bisnes dalam talian.

Pandemik, alternatif

“Saya jual pakaian dan produk kecantikan bawah jenama sendiri.

“Alhamdulillah sedikit sebanyak, membantu saya menambah pendapatan sebelum boleh masuk ke set penggambaran nanti,” katanya.

SELAIN bergelar model, Husna juga mengendalikan bisnes dengan menjual produk kecantikan bawah jenama sendiri. 

Mengulas tentang perancangan kerjaya seninya, Husna mengakui masih belum puas bergelar pelakon dan banyak perkara yang perlu diteroka.

Katanya, banyak lagi watak yang mahu dijayakan. Seboleh-bolehnya, dia mahu terus serius dalam lakonan, mungkin sehingga mampu menerbitkan karya sendiri suatu hari nanti.

“Mungkin apabila sudah puas berlakon, saya akan cuba hasilkan karya sendiri pula.

“Mana tahu satu hari nanti, saya boleh jadi seorang penerbit yang menghasilkan karya-karya hebat. Kalau kita berusaha tidak ada apa yang mustahil,” ujarnya seraya menoktahkan kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI