IPOH – Cadangan pembinaan sekolah sukan pertama bagi orang kurang upaya (OKU) di negara
bagi memperkasakan golongan itu dalam bidang sukan sedang diperhalusi kerajaan.
Sebelum ini ia dicadangkan Senator Datuk Ras Adiba Radzi agar penglibatan OKU dalam sukan diberi perhatian.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Ras Adiba yang mewakili golongan OKU di Dewan Negara dalam memperkasakan golongan berkenaan di dalam sukan.
“Kita ucapkan terima kasih atas saranan Yang Berhormat Senator Datuk Ras Adiba untuk kita memikirkan membuka satu sekolah khas bagi pembangunan sukan atlet para.
“Ini satu cadangan yang amat baik, namun kita perlu perhalusi dan akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pelajaran agar ianya dapat jadi kenyataan,” katanya selepas melawat Pusat Latihan Memanah Para Negeri Perak, di Padang Jabatan Veterinar Negeri Perak, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, pihaknya juga berharap pembinaan sekolah berkenaan dapat direalisasikan supaya menjadi inisiatif kepada atlet cabang sukan tersebut mengharumkan nama negara dipersada dunia.
“InsyaAllah, tetapi buat masa sekarang memang pihak Kementean Belia dan Sukan sentiasa mengadakan program-program rentas kementerian.
“Apa juga kita lakukan melalui perkembangan belia ataupun juga sukan kita kan libatkan juga aktiviti dan program bersama dengan kementerian -kementerian lain,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929