KUANTAN – Pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri emas pertama negara yang sedang giat dibangunkan di Gebeng dekat sini dijangka beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Presiden SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, pusat R&D dan akademi kecemerlangan menerusi kerjasama strategik SIRIM dan Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur) itu melibatkan peruntukan kira-kira RM3 juta.
“Pusat terbabit akan menumpukan kepada R&D berkaitan kesenian, reka bentuk dan kaedah pemasaran produk berasaskan emas.
“Kerjasama strategik ini juga turut menumpukan usaha membantu usahawan baharu dalam bidang perniagaan emas untuk berkembang hingga ke peringkat global,”katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Ko-Makmur, Datuk Hishamuddin Abdullah di pejabat SIRIM Pahang, di sini, semalam.
Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM berkata, perniagaan berasaskan emas berpotensi besar dan SIRIM sedia membantu serta membimbing Ko-Makmur dan Makmur Gold untuk meneroka pasaran luar negara.
Katanya langkah pertama untuk menembusi pasaran global ialah dengan mendapatkan pengiktirafan kualiti produk oleh SIRIM yang bertanggungjawab dalam memberi pengiktirafan berkenaan.
“Industri ini (emas) mempunyai nilai pasaran lebih RM10 bilion setahun, dan nilai ini adalah ketika seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, jadi bayangkan kalau tidak ada (Covid-19), nilainya (pasaran) mungkin mencecah antara RM20 hingga RM30 bilion.
“Maknanya selepas ini semua produk dikeluarkan Ko-Makmur melalui rangkaian kedai emas milik mereka, Makmur Gold akan menerima cop pengiktirafan dan pengesahan kualiti produk daripada SIRIM,”katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, objektif utama Ko-Makmur menjadi rakan strategik SIRIM adalah bagi membantu lebih ramai usahawan menceburi sektor perniagaan berasaskan emas.
“Kita mempunyai perancangan jangka panjang untuk memasuki pasaran Timur Tengah dan China, jadi sebagai persediaan Makmur Gold harus mendapat pengiktirafan kualiti daripada SIRIM dan apabila ada pengiktirafan, mudahlah untuk kita meneroka pasaran global,”ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929