SEREMBAN – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, ACP Ramlan Abdul Razak disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini kira-kira pukul 1.35 pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat warga polis di negeri ini lebih-lebih lagi arwah merupakan seorang yang sangat berdedikasi dalam tugasnya.
Menurutnya, Allahyarham sebelum ini menjalani kuarantin disebabkan positif Covid-19 pada bulan lalu dan sudah disahkan negatif.
“Namun kesan dari pendemik berkenaan menyebabkan organ dalaman Allahyarham gagal berfungsi dengan baik. Punca kematian Allahyarham ialah Covid-19 class SB with secondary infection.
“Allahyarham bakal bersara sebulan lagi dan sudahpun berkhidmat dalam pasukan polis lebih 30 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad berkata, Allahyarham seorang yang sangat berpengalaman terutamanya serta tegas dalam menjalankan tugas.
“Sebelum ini Allahyarham pernah berkhidmat di negeri ini, namun bagi jawatan ini arwah baru kira-kira setahun berkhidmat,” katanya.
Jenazah disolatkan di Surau IPK NS dan dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Senawang. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929