NEW YORK – Pemain pilihan No. 2, Daniil Medvedev menepati ramalan untuk melangkah ke pentas final Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan pemain muda dari Kanada, Felix Auger-Aliassime di pusingan separuh akhir awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Arthur Ashe itu, atlet kelahiran Rusia itu tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan straight set 6-4, 7-5, 6-2 dalam tempoh dua jam sekali gus menempah tiket final bertemu pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic awal pagi esok.
Kata Medvedev, meskipun meraih keputusan straight set, perlawanan yang diharungi tidak semudah yang disangka apabila cabaran yang diberikan oleh Aliassime cukup sengit khususnya pada set kedua.
“Ia adalah perlawanan yang agak pelik bagi saya kerana pada set pertama, saya berjaya mengekang asakan kedua. Namun, pada set kedua dia pula yang mendominasi perlawanan tetapi tidak bernasib baik untuk tewas dengan keputusan 5-7.
“Secara jujur, ini bukanlah aksi terbaik saya tetapi saya percaya situasi akan berbeza apabila mengharungi saingan final nanti. Secara jujur, saya sememangnya berharap untuk menang trofi Grand Slam pertama selepas tewas pada final Terbuka AS edisi 2019,” kata pemain berusia 25 tahun itu.
Sementara itu, Aliassime yang baru berusia 21 tahun mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan mengambil kekalahan di peringkat separuh akhir ini sebagai pengalaman bermakna sekiranya mahu menjulang kejayaan pada masa akan datang.
“Saya berpuas hati dengan apa yang dipamerkan sepanjang Terbuka AS kali ini. Secara peribadi, saya percaya langkah karier saya baru bermula dan berharap kejayaan yang dinanti akan tiba tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI