SELEPAS lebih lima bulan berehat, deruman enjin Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2021 akhirnya kembali bersambung dengan perlumbaan pusingan ketiga dan keempat akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) 17 hingga 19 September ini.
Semua pasukan bertanding termasuk Tuneboss-Pink Racing nampaknya sudah tidak sabar untuk melepaskan geram masing-masing selepas lama menyepi tanpa sebarang perlumbaan gara-gara pandemik Covid-19.
Pemilik Pink Racing, Nur Atikah Azwar, 25, tanpa berselindung mengakui pasukannya cukup teruja menjelang perlumbaan tersebut, lebih-lebih lagi mereka baru sekali melakukan latihan di atas jentera sejak litar kembali dibuka.
“Perasaan sekarang memang rasa tidak sabar untuk perlumbaan bersambung semula, namun pada masa sama agak gementar kerana menjelang perlumbaan itu nanti, Pink Racing ada sedikit kejutan.
“Sejak trek dibuka beberapa minggu lepas, pelumba-pelumba baru turun sekali melakukan latihan. Oleh itu, mereka memang tunggu masa untuk ‘lepas gian’ pada perlumbaan di Sepang nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Atikah yang lebih mesra disapa Ika berkata, tempoh seminggu sebelum perlumbaan akan digunakan sebaiknya oleh pasukan itu bagi melakukan persiapan, sekali gus membolehkan para pelumba kembali mendapatkan rentak tunggangan.
Memandangkan mereka sudah mengharungi dua pusingan perlumbaan pada Mac dan April, para pelumba dan mekanik pasukan hanya memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari pelarasan sempurna untuk jentera.
“Perancangan pasukan untuk tempoh lebih kurang seminggu sebelum perlumbaan adalah untuk buat persiapan terakhir kerana pelumba-pelumba dijangka berkumpul Isnin ini (esok) untuk menguji jentera.
“Dalam dua pusingan perlumbaan sebelum ini, memang pasukan sudah hampir dapatkan pelarasan terbaik. Bagaimanapun, untuk perlumbaan ini, pelumba sendiri perlu tentukan sama ada ia sesuai ataupun tidak dengan tunggangan mereka,” ujarnya.