“FOKUS dan berikan semua yang anda ada untuk perlawanan terakhir ini!”
Itu pesanan Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menjelang perlawanan penutup Liga Super menentang Melaka United malam ini yang bakal menentukan nasib mereka untuk beraksi dalam Piala AFC, musim depan.
Menurut pengendali berasal dari Singapura itu, pasukan kendaliannya tidak memiliki pilihan selain bangkit daripada kekalahan dan seri dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini untuk memastikan mereka menyamai pencapaian tahun lalu iaitu berada di tangga kedua Liga Super.
“Sangat penting untuk kita berikan segalanya dalam perlawanan penutup ini tetapi saya harap pemain tidak terlalu rasa tertekan atau takut-takut untuk beraksi.
“Mereka perlu ‘layan’ perlawanan ini seperti biasa dan fokus di sepanjang 90 minit. Memang tidak mudah kerana kita melihat para pemain kepenatan akibat jadual padat dan sebagainya.
“Namun, kita tiada pilihan dan perlu bersedia menghadapi perlawanan terakhir ini. Sama ada dalam hujan lebat atau kering, kita perlu berikan segala yang termampu untuk berdepan Melaka United,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan pemain, Aidil Sharin berkata, kesemua pemainnya boleh diturunkan kecuali Kpah Sherman dan Rabih Ataya yang terikat dengan tugasan melibatkan negara baru-baru ini.
“Walaupun tiada pemain digantung, namun ada antara mereka yang mengalami kecederaan antaranya di betis, lutut dan hamstring. Tetapi semangat mereka amat tinggi untuk tetap beraksi bagi membantu pasukan mencapai kemenangan.
“Saya sangat hargai semangat yang mereka tunjukkan itu. Namun sudah tentu kita perlu bijak mengimbangkan semuanya dan untuk itu, setiap pemain terutamanya pemain muda, perlu sentiasa bersedia dan percaya betapa mereka boleh menghasilkan sesuatu untuk pasukan apabila diminta beraksi,” katanya.