Pemain No. 1 negara alami kecederaan otot belakang
KECEDERAAN otot belakang yang dialami pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia pada Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu mungkin memaksanya berehat panjang.
Menurut Zii Jia, meskipun dia menjangka tempoh tiga atau empat minggu cukup untuk pulih, namun doktor menasihatkannya supaya berehat selama lapan minggu.
Pada sesi latihan kelmarin, Zii Jia mengakui cuba melakukan aksi pemanas badan, namun masih terasa sakit, lebih-lebih lagi ia merupakan kecederaan berulang.
“Ketika sesi latihan, saya cuba untuk panaskan badan tetapi sukar untuk ambil pukulan belakang kerana masih terasa sakit, jadi dalam tempoh dua minggu ini saya akan fokus pada proses pemulihan.
“Sebenarnya, doktor nasihatkan saya agar berehat dan mungkin memakan masa lapan minggu untuk pulih. Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman, saya fikir tiga atau empat minggu sudah cukup,” kata Zii Jia.
Pada masa sama, pemain No.10 dunia itu menegaskan, dia langsung tidak kesal apabila memberikan segala-galanya ketika beraksi pada kejohanan minggu lalu sehingga ditimpa kecederaan.
Sekiranya Zii Jia terpaksa berehat seperti yang disyorkan doktor, persiapannya ke saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark Oktober depan mungkin terjejas.
“Secara jujur, saya tidak menyesal tampilkan aksi terbaik sehingga cedera pada kejohanan jemputan kerana saya anggap ia sebagai kejohanan besar,” ujarnya.