BACHOK – Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 sebagai bantuan segera untuk membaik pulih Pejabat Persatuan Orang Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Kelantan di Beris Kubur Besar di sini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, peruntukan itu dalam usaha membantu membangunkan pusat berkenaan.
“Saya melihat keadaan kawasan bangunan yang uzur ketika mengadakan lawatan. Oleh itu, kita salurkan bantuan dalam usaha menampung keperluan yang diperlukan. Banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan di sini.
“Kita berusaha membantu pihak berkenaan bagi membantu golongan orang cacat penglihatan dalam usaha membantu Pertis di negeri ini menyebarkan dakwah kepada golongan itu, ” katanya selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan orang cacat penglihatan di Pertis, Beris Kubor Besar sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperkasakan lima pelan intervensi di bawah jabatan itu untuk membela nasib golongan berkenaan selain memberi peluang yang lebih baik bagi mereka meneruskan kehidupan melalui cara yang menepati pembangunan sahsiah Islam. – K! ONLINE