IPOH – Penyedia perkhidmatan barangan mainan rekreasi di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya di sini mengakui pendapatan terjejas teruk selepas lebih enam bulan tidak dibenarkan beroperasi.
Mereka juga tersepit apabila terpaksa menanggung rugi puluhan ribu ringgit disebabkan barang mainan seperti basikal, kereta api, basikal dan kereta elektrik rosak kerana lama tidak digunakan.
Wakil peniaga, Azrina Abdul Kadir, 38, berkata, nasib mereka yang hilang mata pencarian itu patut diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
Katanya, rata-rata mereka juga kini bergantung hidup dengan wang simpanan untuk menyara keluarga masing-masing.
“Mungkin orang lihat perniagaan jenis ini tidak terjejas, barang pun tidak rosak. Sebenarnya (tanggapan) silap, kami yang paling teruk tanggung rugi.
“Misalnya kereta dan basikal elektrik, apabila tidak digunakan dalam tempoh lama, tayar dan baterinya akan rosak. Barang-barang itu dibeli dari China, harganya pun bukan murah, malah beribu ringgit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Azrina, meskipun tidak beroperasi, mereka masih perlu membayar sewa premis yang menempatkan kesemua barang mainan dengan bayaran RM1,000 sebulan.
Jelasnya, disebabkan kesempitan hidup, ada dalam kalangan peniaga yang tidak berkemampuan membayar sewa premis hingga tertangguh selama empat bulan.
“Terdapat 17 peniaga di sini melibatkan penjaja kecil termasuk empat pengusaha perkhidmatan barang mainan rekreasi. Kesemua kami adalah peniaga berlesen di sini.
“Berbanding sekatan (Perintah Kawalan Pergerakan) yang diadakan beberapa kali, ini adalah paling lama. Sebelum ini, walaupun buka tutup buka tutup, kami masih boleh bernafas lagi,” katanya. – K! ONLINE