SEBERANG PERAI – Polis menahan sepuluh lelaki warga tempatan yang sedang leka bermain judi dalam serbuan di sebuah premis di Mak Mandin, Butterworth di sini tengah malam tadi.
Suspek berusia di antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan pematuhan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka bermain judi dipercayai jenis pakau dan mahjong, manakala terdapat sepuluh individu lain yang turut menjadi penonton.
“Mereka didapati melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan semasa tempoh PPN malah tidak mematuhi penjarakan fizikal yang ditetapkan.
“Kita turut merampas kelengkapan dan peralatan perjudian antaranya dua meja kayu, kertas putih (dua), bangku plastik (sembilan), cip (66), buah mahjong (84), dadu (empat), blok pakau (52) dan wang tunai RM8,514,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya seramai sepuluh penonton turut dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021. – K! ONLINE