KUALA LUMPUR – Sebuah treler yang membawa muatan alat ganti penyejuk udara mengalami kerosakan pada bahagian kontena selepas merempuh alat pengudaraan udara ‘air ventilation’ di dalam terowong di Jalan Sultan Yahya Petra, dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, polis menerima laporan berkenaan kejadian itu pada pukul 11.03 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang membawa muatan alat ganti penyejuk udara datang dari arah Air Panas, Setapak menghala ke pusat bandar.
“Ketika melalui terowong, treler berkenaan telah terlanggar pada alat pengudaraan udara di dalam terowong berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, alat pengudaraan udara jatuh dan terkena pada bahagian kontena hingga menyebabkan bahagian atas kontena terkoyak. Manakala alat pengudaraan pula jatuh ke atas jalan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kemalangan hanya mengakibatkan kerosakan pada bahagian kontena dan tidak melibatkan kenderaan lain serta kecederaan kepada pemandu. – K! ONLINE