CYBERJAYA – Seorang pemandu lori maut selepas lori muatan lapan tan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Saujana arah selatan di sini malam tadi.
Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Mohmad Rashid Mohmad Said berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan kira-kira pukul 11.28 malam.
Menurutnya, sebuah jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi 28 minit kemudian, pihak bomba mendapati sebuah lori muatan lapan tan telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Hasil siasatan mendapati terdapat seorang lelaki berangsa India dan berusia 41 tahun tersepit di bahagian pemandu namun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE