fbpx

Ribut 30 minit rosakkan 18 rumah di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan gumpalan awan yang berlaku sebelum ribut membadai rumah penduduk di Kampung Chegar Perah di Lipis semalam.

LIPIS – Bermula dengan gumpalan awan dilangit diikuti ribut kuat dan angin pusar telah menggemparkan penduduk Kampung Chegar Perah di sini, semalam.

Dalam kejadian bermula pukul 6.30 petang itu menyebabkan 18 buah rumah rosak teruk akibat dibadai angin puting beliung yang berlaku dalam tempoh masa kira-kira 30 minit.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Chegar Perah, Ahmad Awang Derani berkata, kejadian yang menyebabkan 18 buah rumah rosak itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

“Selepas bah merah pada 2014 kejadian ribut kali ini adalah malapetaka dahsyat menggerunkan yang menimpa penduduk di kampung ini.

“Kejadian ini melibatkan seramai 49 orang mangsa daripada 18 buah keluarga yang terjejas apabila kediaman mereka mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung yang diterbangkan angin,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pada masa ini hanya tiga orang penduduk daripada sebuah keluarga di Perumahan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) dipindahkan ke rumah saudara berdekatan kerana keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin.

Katanya, pada masa ini kebanyakan mangsa mula membersihkan rumah mereka dengan dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam, pejabat penghulu mukim dan pihak berkuasa lain.

“Sehingga lewat malam tadi, JKKK, Penghulu Mukim dan pihak berkuasa telah membantu menyumbangkan barang makanan sementara menunggu bantuan lain,” katanya.

Sementara itu seorang mangsa, Mohd. Nor Mat Saman berkata, kejadian berlaku begitu cepat dan menggerunkan yang bermula dengan hujan disusuli  ribut yang membadai rumah.

Katanya, putaran ribut itu amat menakutkan menyaksikan keluarganya hanya mampu berkumpul di dalam bilik untuk mengelakkan ditimpa kayu dan bumbung. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI