fbpx

Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAPAR GURROHU menghembus nafas terakhir di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor akibat jangkitan kuman pada paru-paru hari ini.

KLUANG – Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Gapar Gurrohu, 76, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada 1.18 pagi hari ini.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Nor Safarin, 44, ayahnya turut mengalami komplikasi sakit tua termasuk kencing manis dan sudah uzur sejak dua bulan setengah lalu.

Katanya, arwah ayahnya juga sejak kebelakangan ini sering bercakap mengenai Allaryarham ibunya, Mah Mohamad yang sudah meninggal dunia sejak 48 tahun dahulu di Mekah, Arab Saudi ketika mengerjakan haji.

“Arwah sering terbayangkan isterinya Datin Aminah @ Safiah Mohd. Yusof, 75, sebagai ibunya yang sudah meninggal dunia malah dia juga bersungguh-sungguh ingin pulang ke kampung halamannya di Ujung Pasir, Melaka.

“Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami tidak menunaikan hasratnya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Allahyarham meninggalkan isteri, dua anak beserta cucu seramai enam orang dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong Dalam, di sini selepas solat Jumaat.

“Walaupun dia seorang yang aktif dalam politik dan kerjaya, ayah tak pernah melupakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga ketika kami masa kecil, ayah selalu mengajak kami melancong dan berusaha memanfaatkan masanya bersama kami,” katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota menyifatkan Allahyarham seorang tokoh yang disegani dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar terutama bagi orang Kluang.

“Beliau merupakan seorang yang tegas dalam membuat sebarang keputusan dan amat dihormati. Salam takziah untuk keluarganya dan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kluang yang ketiga berkhidmat dari 1996 hingga 2008 banyak melakukan kerja amal sebagai Pengerusi Pertubuhan Anak Yatim Kluang selepas bersara daripada dunia politik.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI