fbpx

Lembah Klang kembali ‘bernyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai mengambil peluang membeli belah di Jalan TAR semalam selepas Lembah Klang memasuki Fasa 2 PPN sejak semalam. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembah Klang yang memasuki Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam kembali meriah dengan para peniaga mula ‘berperang’ mendapatkan pelanggan biarpun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Rata-rata peniaga ditemui meluahkan rasa lega berikutan kelonggaran yang diberikan kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Put­rajaya sejak semalam.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, orang ramai juga dilihat seolah-olah lepas geram dengan membeli-belah selepas lama tidak dapat berbuat demikian secara bersemuka.

Seorang penjual songket di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Faridah Agus Salim, 43, berkata, kelonggaran yang diberikan memberi sinar baru buat mereka me­ngalami kerugian akibat kekurangan pelanggan ekoran penularan wabak Covid-19.

“Kami mula buka kedai sejak minggu lalu tetapi pelanggan kurang, ada hari-hari tidak ada jualan langsung.

“Oleh itu, dengan kebenaran rentas antara tiga kawasan jangkitan sama ini, kami menjangkakan lebih ramai pelanggan datang untuk membeli belah terutama pada hujung minggu,” katanya di sini semalam.

Para peniaga menarik nafas lega Lembah Klang beralih ke Fasa 2 sejak semalam.

Nada yang sama disuarakan penjual pakaian, Thuraya Nadia Abdullah, 36, yang turut meng­ingatkan semua pihak mematuhi SOP kerana jumlah kes harian masih tinggi selain mengelak sektor ekonomi terpaksa ditutup semula.

“Kakitangan premis ini semua sudah lengkap vaksinasi dan kami juga akan pastikan SOP yang ketat bagi pelanggan yang berkunjung ke premis kami bagi mengelak jangkitan,” ujarnya.

Bagi peniaga pakaian sukan yang mahu dikenali sebagai Wan, 38, kelonggaran yang diberi kerajaan sejak semalam sangat membantu peniaga kecil sepertinya meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana Covid-19.

“Sebelum ini saya terpaksa berniaga air untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas kedai pakaian tidak boleh bero­perasi.

“Namun sinar mula kelihatan dan hari ini (semalam) Jalan TAR kembali meriah apabila orang ramai mula datang untuk membeli-belah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Nadia Nurngalim, 25, tidak melepaskan peluang untuk membeli barang keperluan selepas lama tidak dapat berbuat demikian.

“Hari ini (semalam) saya ambil peluang beli baju, lama sudah tidak dapat ke kedai menambah koleksi barangan di rumah.

“Secara jujur memang risau tetapi saya ambil berat pematuhan SOP lagipun tahap vaksinasi di Lembah Klang berada pada tahap yang tinggi,” jelasnya.

Tambah Nadia, dia turut menyambut baik keputusan kerajaan memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya
digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama berikutan ramai yang perlu bergerak antara ketiga-tiga negeri ini bagi urusan pekerjaan dan sebagainya.

“Saya sendiri menetap di Ba­ngi, Selangor tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Jadi, setiap hari perlu melalui sekatan jalan raya yang sesak,” jelasnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Fatimah Ibrahim, 53, berkata, dia mengambil peluang membeli-belah pada hari bekerja kerana tidak mahu bersesak de­ngan orang lain.

Jelasnya, walaupun kerajaan telah membenarkan merentas daerah, orang ramai perlu terus berhati-hati dan mengamalkan SOP yang disarankan oleh kerajaan.

“Kebenaran merentas daerah bukan tiket kita tidak akan dijangkiti wabak pembunuh yang menular di negara ini sejak dua tahun lalu.

“Keluar jika ada urusan pen­ting sahaja, kerana walaupun sudah sedikit bebas, virus itu masih ada” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI