KLUANG – Kira-kira 40,000 penduduk di daerah ini dikesan masih gagal untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mengekang penularan Covid-19.
Pegawai Daerah Kluang, Jamaludin A. Hamid berkata, terdapat beberapa faktor antaranya terlepas tarikh janji temu, tidak daftar MySejahtera serta antivaksin.
“Pelbagai faktor menyebabkan punca mereka tidak mendapat suntikan vaksin antaranya warga emas yang terlepas janji temu, pihak yang berada di atas pagar, antivaksin, malah paling mengejutkan ramai dalam kalangan golongan muda yang celik internet sebenarnya tidak mendaftar di MySejahtera.
“Bagi mengatasi masalah itu selain daripada kempen hebahan awam dan media sosial kita juga mengerahkan sukarelawan untuk masuk ke kawasan pendalaman dan bandar bagi berkomunikasi dengan golongan ini mengenai kepentingan vaksin.
“Alhamdulillah dengan pendekatan ini kita berjaya mendaftarkan lebih ramai di MySejahtera namun kita juga masih mencari baki kira-kira 40,000 penduduk yang layak ini untuk tampil mendaftar di My Sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini. Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Kluang Sharul Azmi Md Kamil.
Jamaludin berkata, sehubungan itu sebagai usaha menggalakkan pendaftaran penduduk berkenaan, pihaknya mempelawa mereka untuk membuat ‘walk-in’ vaksin di semua PPV daerah Kluang termasuk terbaru di PPV LHDN.
“Mereka yang menghadapi masalah terlepas temujanji dan yang dihalang polis untuk merentas daerah atau negeri boleh menghubungi PPV berhampiran kediaman mereka bagi suntikan vaksin.
“PPV di Dewan Muafakat Simpang Renggam sudah mula menerima ‘walk-in’ sejak 5 Mei lalu manakala lapan klinik kesihatan di Kluang pun sudah boleh membuat suntikan vaksin dan terbaru di PPV LHDN boleh melakukan ‘walk-in’,” katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929