SUNGAI PETANI – Hasrat seorang pemandu kren untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor lembu di Kilometer 91.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Bedong dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, Qhairul Idham Basharuddin, 27, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman.
Mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Bukit Tengah, Bukit Mertajam di Pulau Pinang ke rumahnya di Taman Gurun Jaya, Gurun dekat sini.
Bapa mangsa, Basharuddin Hussin, 61, berkata, dia sekeluarga sedih kerana anaknya merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Siti Nur Syamira Natasha Hamzah, 22, dari Bedong pada 19 September ini.
“Anak kedua saya ini telah selesai menyediakan semua dokumen perkahwinan dan sedang menanti hari bahagia untuk diijabkabulkan dengan pasangannya selepas setahun bertunang.
“Arwah kelihatan sangat teruja kerana rancangannya untuk berkahwin pada Disember tahun lalu terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, arwah membuat pelbagai persiapan termasuk daripada segi kewangan dan barangan yang akan digunakan dalam majlis itu kerana mahu majlis pernikahan berlangsung meriah.
“Kami kehilangan seorang anak yang baik budi pekertinya, bersikap penyayang dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu ibu Qhairul Idham, Fatiyah Ghazali, 57, berkata, dia berasa bimbang kerana usahanya menghubungi anaknya itu pada pukul 8.30 malam kelmarin tidak berhasil.
“Biasanya dia akan sampai di rumah kira-kira pukul 6 petang tetapi semalam dia gagal berbuat demikian.
“Perasaan bimbang sesuatu yang buruk berlaku ke atasnya menyebabkkan saya cuba menghubungi telefonnya beberapa kali tetapi gagal sebelum dimaklumkan tentang kemalangan sejam kemudian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, setibanya ditempat kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar seekor lembu yang berada di lorong kiri laluan.
“Pelanggaran itu menyebabkan dia terpelanting dan terjatuh atas cermin hadapan kereta Proton Persona yang mengekorinya.
“Lembu yang dipercayai dari bahu jalan dan naik ke lebuh raya itu kemudiannya turut dilanggar kereta Proton Persona dinaiki sepasang suami isteri mengakibatkan kenderaan itu remuk di bahagian hadapan. Bagaimanapun mereka tidak cedera,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.