fbpx

Amira Othman meratap sedih dalam Tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRA OTHMAN

MENDENGAR dan meneliti setiap bait-bait lirik single terbaharu Amira Othman berjudul Tragedi, seperti ada selintas rasa menusuk ke sanubari.

Lagu dengan rentak berselubung rintihan dan kesedihan itu juga secara tidak langsung membayangkan segunung pilu sedang menyesakkan jiwa pelantunnya.

Bait-baik liriknya begitu mendalam dan pendengar cuba dijelaskan satu perkara, apakah cerita di sebaliknya Tragedi.

Merungkai lagu tersebut daripada penyanyinya sendiri, pemilik nama penuh Nadia Amira Othman itu memberitahu lagu tersebut jelas menggambarkan dirinya yang seorang puitis dan berjiwa sentimental.

Ujar penyanyi yang pernah popular dengan lagu Hati-Hati, Tragedi mengisahkan tentang kehilangan orang tersayang khususnya ahli keluarga dan teman rapat.

BEKAS peserta AF2013 itu tidak menyangka pihak Astro berminat untuk menggunakan buah tangan tulisannya, Tragedi sebagai runut bunyi drama bersiri Malaysian Ghost Stories.

‘Jiwa saya memang begini’

“Sejujurnya lagu ini tiada kena mengena dengan kisah hidup saya. Lagu ini menggambarkan saya memang seorang yang berjiwa sedih dan sensitif.

“Jika diamati lirik ‘ombak berhempas dan memukul pantai’, itu momen sedih.

“Metafora yang saya gunakan adalah fahaman kesedihan saya sendiri,” katanya yang menulis sendiri lirik Tragedi.

Berkongsi lanjut mengenai buah tangan terbaharunya itu, Tragedi telah dihasilkan sekitar 2012 namun tidak sempat dilancarkan atas pelbagai faktor.

“Saya sudah hasilkan naskhah indah ini ketika masih menyambung pengajian sekitar tahun 2012 namun tak sempat nak lancarkan sebab sudah sertai Akademi Fantasia.

“Jadi, awalnya saya memang anggap lagu ini tiada rezeki tetapi baru-baru ini dapat pula panggilan daripada pihak Astro untuk digunakan sebagai runut bunyi drama Malaysian Ghost Stories,” katanya yang membuat rakaman semula lagu tersebut sekitar awal tahun ini.

Ujar penyanyi berusia 28 tahun itu, asalnya dia tidak merancang untuk melancarkan lagu balada dalam tempoh terdekat kerana baru sahaja mengeluarkan Surat Terakhir sekitar Februari lalu.

“Ya, tempoh lagu ini dilancarkan sangat rapat dengan Surat Terakhir, tidak sampai setahun pun. Mungkin inilah dinamakan rezeki, apa yang kita rancang belum tentu semua menjadi.

“Apa pun, Alhamdulillah Tragedi dipilih sebagai runut bunyi kerana bukan mudah untuk sesebuah karya menjadi lagu tema mana-mana drama,” tutur anak kelahiran Skudai, Johor itu.

AMIRA tidak menolak kemungkinan akan turut berlakon dalam drama Malaysian Ghost Stories sekiranya watak yang ditawarkan patuh syariah seperti menutup aurat serta mengikut jadualnya

Mengharap tuah

Ditanya mengenai rangka promosi Tragedi, Amira memberitahu dia hanya mampu mengharapkan sokongan pendengar memandangkan kekangan untuk mempromosikan lagu tersebut ketika musim pandemik.

“Bercakap tentang promosi, banyak kekangan ketika musim pandemik dan semua tidak berjalan seperti sebelum ini. Namun saya mengharapkan yang terbaik dan masih terfikir cara untuk menularkan single ini.

“Cabaran untuk mengetengahkan single ini sangat besar kerana Tragedi sebuah lagu sedih dan masih tercari-cari cara untuk mendekati jiwa pendengar,” katanya lagi.

Penyanyi yang pernah membintangi drama bersiri Abang Bomba I Love You turut melahirkan kerisauannya mengenai dakwaan peminat akan bosan kerana kerap melancarkan lagu bergenre sama.

“Ya, memang saya ada rasa sebegitu kerana mengikut perancangan memang hendak lancarkan naskhah bergenre rancak selepas Surat Terakhir.

“Seperti yang saya cakap sebelum ini, semua ini tidak dirancang dan harapnya peminat dapat menerima baik Tragedi.

“Insya-Allah perancangan untuk saya menghasilkan sebuah lagu rancak tidak terpadam,” jelasnya lagi.

TURUT terkesan akibat pandemik, Amira mengakui perlu bertindak agresif dengan melakukan beberapa bisnes bagi menampung perbelanjaan kehidupan seharian.

Kehidupan PKP

Sama seperti anak seni lain, bekas pengacara program Nasi Lemak Kopi O itu mengakui pendapatannya turut terjejas impak daripada pandemik Covid-19.

“Selain daripada bidang nyanyian yang masih tergantung jalan ceritanya, saya sibuk juga dengan perniagaan tudung dan produk makanan ringan.

“Hidup tidak boleh lagi berharap dan bergantung dengan duit persembahan seperti sebelum ini. Semua sudah berbeza,” katanya lagi.

Tambah Amira, dia juga aktif mencari alternatif lain untuk mencari pendapatan lain bagi menampung kehidupan seharian.

“Sebelum ini saya hidup dengan duit yang diraih daripada persembahan tetapi sekarang kena pandai cari peluang lain untuk mengelakkan diri daripada terus terkandas.

“Memang perlu juga bertindak agresif seperti ini untuk cari pendapatan.

“Biarpun tidaklah semewah dahulu tetapi alhamdulillah saya masih mampu teruskan kehidupan,” katanya yang turut menerima tawaran untuk menjayakan drama bersiri Malaysian Ghost Stories.

MENURUT Amira, Tragedi menggambarkan jiwanya sebagai seorang yang sensitif dan berjiwa sentimental.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI