BUENOS AIRES – Bintang sensasi dunia, Lionel Messi memintas rekod legenda Brazil, Pele sebagai penjaring terbanyak peringkat antarabangsa dalam sejarah bola sepak benua Amerika Selatan.
Kejayaan itu hadir selepas Messi, 34, meledak hatrik membantu Argentina menewaskan Bolivia 3-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di Estadio Monumental semalam.
Ia menyaksikan pemenang enam Ballon d’Or itu kini mengumpul 79 gol dalam 153 penampilan antarabangsa sekali gus memintas rekod Pele sebagai penjaring terbanyak benua Amerika Selatan iaitu 77 gol daripada 92 perlawanan.
“Sudah lama saya menantikan detik ini. Sukar untuk saya menggambarkan perasaan sekarang tetapi apa yang pasti saya mahu menikmatinya selepas berusaha keras sepanjang karier,” kata Messi.
Kecemerlangan itu turut melonjakkan Messi sebagai penjaring keenam terbanyak peringkat antarabangsa dengan memintas kedudukan Pele dan legenda Iraq, Hussein Saeed yang menjaringkan 78 gol daripada 137 perlawanan.
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berbangga dengan pencapaian bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu yang kini berpeluang menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik penjaring terbanyak peringkat antarabangsa.
“Messi meninggalkan satu legasi buat semua pemain dalam pasukan kebangsaan.
“Sejak dulu hingga sekarang, beliau masih merupakan seorang pemain yang mampu membawa perbezaan dalam mana-mana perlawanan. Saya amat berbangga kerana dapat melatih pemain legenda seperti Messi,” jelasnya. – AGENSI