PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengkaji punca kenaikan harga komponen makanan ayam di pasaran tempatan supaya ia tidak membebankan pengusaha dan pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pihaknya juga akan meneliti beberapa faktor lain yang boleh menyumbang kepada kenaikan harga ayam di pasaran tempatan termasuk faktor logistik, perolehan anak ayam dan komponen bagi menghasilkan dedak ayam.
Beliau berkata, pihaknya akui harga komponen makanan bagi menghasilkan makanan ayam akan turut meningkat selari dengan kenaikan harga di pasaran dunia.
“Seperti kita maklum, turun naik harga komponen bagi menghasilkan makanan haiwan seperti jagung dan kacang soya adalah bergantung kepada harga pasaran dunia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Agihan Kadar Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan (DPK) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenaikan harga ayam di pasaran tempatan yang kini mencecah RM10 sekilo sejak minggu lalu.
Sejak awal bulan ini, beberapa negeri merekodkan kenaikan harga ayam di pasar-pasar awam sehingga mencecah RM10 sekilo sekali gus meresahkan pengguna. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929