fbpx

Lelaki Myanmar tipu identiti untuk terima vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA barangan yang dirampas daripada lelaki warga Myanmar di PPV RiVAC di George Town semalam.

GEORGE TOWN – Tindakan licik seorang pekerja kedai kek warga Myanmar menggunakan identiti rakyat senegaranya semata-mata mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 akhirnya memakan diri apabila diberkas polis semalam.

Suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Pulau Tikus dengan kerjasama petugas keselamatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di sebuah pusat beli-belah di sini kira-kira pukul 4.20 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan ke atas suspek lelaki terbabit dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun pada 6 September lalu.

Menurutnya, pengadu tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong sejurus hadir mendapatkan vaksin pertama di PPV Tapak Pesta Sungai Nibong.

“Pengadu dimaklumkan oleh petugas terbabit yang nama dan pasportnya telah didaftarkan di PPV Gurney Paragon. Dos pertama telah diterima pada 20 Ogos manakala bagi dos kedua dijadualkan pada 9 September 2021 di lokasi sama.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di PPV berkenaan ketika mahu mendapatkan dos kedua sekali gus merampas i-kad dan kad pengenalan atas nama orang lain iaitu nama pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Soffian memberitahu, suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI