fbpx

Koperal patah bahu diseret motosikal suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek menyeret seorang anggota polis sejauh 20 meter ketika cuba melarikan diri di Penaga, Kepala Batas semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis cedera parah selepas diseret di atas jalan tar sebelum terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengejar suspek bermotosikal yang melarikan diri di Penaga, Kepala Batas di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun itu dilaporkan mengalami patah bahu kanan dan luka pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku selepas beberapa anggotal polis yang melakukan tugasan rondaan melihat seorang lelaki menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, motosikal itu didapati menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ yang tidak dapat dilihat dengan jelas sebelum dia diarahkan berhenti di tepi jalan.

“Polis telah memperkenalkan diri, tetapi dia terus memecut motosikal sehingga memaksa anggota mengejarnya.

“Ketika di satu simpang, suspek telah berlanggar motosikal anggota polis yang berada di sebelah kanan sebelum anggota itu terseret sejauh 20 meter dan terjatuh ke dalam longkang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menambah, suspek berusia 20-an yang cuba melarikan diri itu bagaimanapun berjaya ditahan di kawasan berhampiran.

“Siasatan mendapati suspek yang tiada lesen memandu itu tidak membawa apa-apa barang salah dan ujian saringan air kencing mendapati dia juga negatif dadah.

“Anggota polis berkenaan cedera parah apabila mengalami patah bahu kanan dan luka pada badan, manakala suspek turut mengalami calar pada badan,” katanya lagi.

Noorzainy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI