KAJANG – Seorang wanita dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang merupakan anak wanita itu, minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Ieda Nor Esbi Baharuddin, 35, dan kekasihnya, Norazizol Baharum, 34, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama, dengan sengaja membunuh kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di sebuah rumah di Seksyen 2 di sini, antara pukul 6.30 pagi hingga 10.41 malam pada 2 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Terdahulu sebelum kes dituduh, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan dalam satu kenyataan berkata, pasangan kekasih itu telah ditahan berhubung kematian seorang kanak-kanak, minggu lalu yang juga merupakan anak kandung wanita tersebut.
Mangsa mengalami cedera parah di abdomen, badan dan disahkan meninggal dunia setelah dimasukkan di sebuah hospital swasta pada 2 September lalu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929