LIVERPOOL – Wolverhampton Wanderers dilaporkan bersedia ‘melayan’ tawaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool buat pemain sayap mereka, Adama Traore yang dianggarkan bernilai £70 juta (RM384.9 juta).
Pengurus The Reds, Jurgen Klopp pastinya individu paling gembira mendengar berita tersebut memandangkan beliau sangat menggemari corak permainan pemain bertubuh sasa berusia 24 tahun itu.
“Traore adalah seorang pemain yang luar biasa. Malah, Pep Guardiola (pengurus Manchester City) pernah menggelarnya motosikal kerana memiliki kelajuan yang sukar dikejar oleh pemain-pemain pasukan lawan,” kata Klopp.
Traore kini menjadi buruan banyak pasukan terutama di England selepas beraksi cemerlang apabila berjaya menghasilkan enam jaringan dan sembilan umpanan gol dalam semua kejohanan bersama Wolves musim ini.
Bagaimanapun, Wolves tidak begitu terdesak untuk menjual Traore yang masih mempunyai baki kontrak selama tiga tahun, namun bersedia mengubah keputusan sekiranya ada tawaran menarik buat bekas produk Akademi Barcelona itu.
Ini kerana, pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo masih memiliki beberapa pilihan di bahagian sayap selain Traore seperti Diogo Jota, Pedro Neto dan Daniel Podence.
Bekas pemain Middlesbrough itu berkemungkinan besar bakal berhijrah menyertai pasukan lain memandangkan Wolves gagal mengesahkan slot mereka beraksi dalam saingan Liga Europa musim depan.
Disebabkan itu, seorang lagi bintang Wolves iaitu penyerang prolifik, Raul Jimenez juga kini menjadi buruan banyak pasukan antaranya Manchester United dan Juventus. – AGENSI