DUA tonggak pasukan hoki wanita kebangsaan, Nuraini Abdul Rashid dan Fatin Shafika Mahd. Sukri bakal menyertai kelab berpangkalan di England, East Grinstead HC selama sebulan sehingga 18 Oktober depan.
Nuraini dan Fatin akan ‘terbang’ ke England minggu ini untuk menyertai naib juara Liga Hoki England (Premier) itu beraksi dalam saingan Liga Hoki Eropah (EHL) dan juga saingan liga musim baharu kali ini.
Ini bakal menjadi penampilan ketiga Nuraini bersama East Grindstead selepas khidmatnya ditagih gergasi England itu dari September hingga Disember 2019 dan Februari hingga April tahun lalu.
“Saya bersyukur dengan peluang ini dan pastinya saya mahu mengekalkan prestasi seperti dua musim lalu. Saya berazam untuk mengekalkan pencapaian pasukan mengakhiri liga di kedudukan kedua terbaik.
“Liga di sana berbeza kerana England adalah tiga pasukan terbaik pada Olimpik Tokyo 2020. Malah, East Grinstead HC sendiri mempunyai tiga pemain beraksi di Olimpik Tokyo 2020, jadi banyak ilmu yang saya boleh pelajari daripada mereka.
“Sudah tentu saya teruja untuk kembali bersama mereka kerana saya mahu terus mengumpul pengalaman sebanyak yang boleh dan belajar perkara-perkara baharu,” kata Nuraini.
Sementara itu, ini bakal menjadi pengalaman pertama Fatin Shafika di England selepas terdahulu pernah bersam Nuraini mewakili Butterfly Roma di Itali dari September hingga November 2018 sebelum kembali semula ke Roma dua tahun lalu. – K! ONLINE