LISBON – Ketua jurulatih Olympique Lyon, Rudi Garcia mengakui, nasib tidak menyebelahi pasukannya apabila tersingkir daripada kancah Liga Juara-Juara musim ini selepas tewas 0-3 kepada Bayern Munich dalam aksi separuh akhir di Stadium Jose Alvalade awal pagi semalam.
Bagaimanapun, pengendali berusia 56 tahun itu tetap berbangga dengan pencapaian anak-anak buahnya sepanjang kejohanan berprestij Eropah tersebut selepas berjaya menyingkirkan dua kelab gergasi, Juventus dan Manchester City sebelum ini.
“Kami memang kecewa kerana gagal melangkah ke pentas final kerana mensia-siakan rentetan peluang keemasan dalam perlawanan ini. Saya anggap kekalahan kami lebih kepada tidak bernasib baik.
“Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang sentiasa bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan meskipun kami sudah ketinggalan dua gol pada babak pertama,” katanya.
Sementara itu, penyerang Lyon, Karl Toko Ekambi senada dengan Garcia dan menegaskan mereka hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyudahkan banyak peluang terhidang terutama pada awal permainan.
“Kami sepatutnya boleh memberi saingan kepada Bayern tetapi inilah lumrah bola sepak. Apabila anda gagal menjaringkan gol, pasukan anda akan kalah.
“Bayern tidak kebal dan boleh dikalahkan dengan syarat anda perlu menyudahkan setiap peluang,” jelasnya. – AGENSI