fbpx

Hariz Hamdan bergurukan Nabila Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIZ mengakui terinspirasi dengan bakat Nabila dan mengambil peluang mencedok ilmu daripada aktres itu sepanjang menjalani penggambaran drama bertajuk Terlerai Noktah, baru-baru ini.

PERJALANAN karier seni pendatang baharu, Hariz Hamdan nampak cukup mudah. Tidak sampai sembilan bulan bergelar pelakon selepas menyertai pertandingan Hero Remaja 2020, sudah ramai pengarah mempercayai bakatnya.

Buktinya, sehingga kini sudah sembilan buah drama dibintanginya termasuklah filem berjudul Banglo Seksyen 12.

Terbaharu, pemuda berusia 19 tahun itu diberi peluang untuk bergandingan dengan pelakon berkaliber seperti Nabila Huda, Aidil Aziz, Azhan Rani, Raysha Rizrose, Atikah Suhaime dan Ainul Aishah menerusi drama Terlerai Noktah yang kini sedang hangat ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3.

Bercakap mengenai pengalamannya bekerja dengan aktres Nabila Huda, sebagai pelakon baharu Hariz mengakui teruja tetapi dalam masa sama berdebar kerana sedar ilmu lakonannya masih cetek.

“Tanyalah mana-mana pelakon baharu, sudah tentu teruja jika dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang berkaliber terutama Nabila Huda.

“Saya mengambil peluang yang diberikan sebagai cabaran. Walaupun bukan sebagai pelakon utama, sekurang-kurangnya saya boleh meraih pengalaman dan ilmu daripada mereka yang lebih senior,” ujar Hariz dalam temu bual secara virtual baru-baru ini.

Menurut Hariz, meskipun Nabila Huda dikenali sebagai pelakon yang bagus dan tegas, namun dia bersyukur kerana aktres itu banyak membantunya sepanjang berada di set penggambaran.

“Semua pelakon senior tidak lokek ilmu dan memberikan saya tunjuk ajar sepanjang di set penggambaran, begitu juga dengan Nabila.

“Jadi, sepanjang penggambaran saya memang tiada masa untuk melihat telefon kerana waktu yang terluang digunakan untuk berbincang tentang lakonan,” kata Hariz lagi tentang drama yang bersiaran sebanyak sembilan episod tersebut.

Memegang watak sebagai jururawat lelaki dalam drama Terlerai Noktah iaitu sebuah karya psiko thriller yang berlatar belakang sebuah hospital mental, Hariz mendedahkan dia melalui pelbagai cabaran baharu.

“Cabarannya saya perlu menghafal banyak fakta perubatan tentang penyakit mental seperti terma-terma yang betul serta senarai ubatan.

“Walaupun mungkin akan ada orang kata saya kelihatan tenggelam berbanding pelakon lain yang lebih hebat, saya tidak kisah kerana telah cuba yang terbaik,” tutur Hariz.

Kelas lakonan

Meskipun masih muda, Hariz menjelaskan dia benar-benar serius dalam bidang lakonan dan mahu karier sebagai pelakon bertahan untuk satu tempoh yang lama.

Sedar mutu lakonannya masih banyak yang perlu diperbaiki, Hariz mengambil inisiatif sendiri dengan menghadiri beberapa kelas lakonan daripada pelakon popular tanah air antaranya Fauziah Ahmad Daud,

Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Ellie Suriaty dan juga Nabila Huda.

“Saya tidak main-main apabila terjun dalam bidang lakonan. Saya juga tahu, apa jua jenis pekerjaan mesti disertakan dengan ilmu. Jadi, saya memasuki beberapa kelas lakonan bagi menambahkan lagi ilmu,” tegas Hariz.

Bicaranya lagi, paling seronok baginya selain berlakon dengan Nabila Huda, dia juga dapat berguru dengan pemenang anugerah Pelakon Terbaik Drama Anugerah Skrin ke-23 itu.

“Saya seronok menuntut ilmu daripada Nabila kerana dalam kelasnya dia bukan sahaja mengajar tentang lakonan, tetapi juga bagaimana kita mahu menjadi seorang pelakon yang berdisiplin dan menjaga imej serta personaliti dengan baik.

“Dia banyak mengajar tentang ilmu industri lakonan berdasarkan pengalamannya, apa yang boleh dan tidak boleh. Sebagai orang baharu, ilmu sebegitu yang saya mahukan dan dia sememangnya seorang guru yang bagus,” ujar Hariz.

Dalam pada itu, Hariz mengatakan dia tidak ralat menangguhkan pelajarannya di peringkat Diploma Sains dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor demi memberi tumpuan terhadap bidang lakonan.

“Buat masa ini rezeki saya dalam bidang lakonan, tetapi tidak bermakna saya enggan sambung pelajaran. Saya masih muda dan sedar pelajaran amat penting.

“Insya-Allah pada masa akan datang saya akan menyambung semula pelajaran yang tertangguh tetapi mungkin dalam bidang yang berbeza,” ujar Hariz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI