KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak melakukan kesalahan pecah amanah seperti dalam pertuduhan kerana wang RM10 juta milik Yayasan Akalbudi berfungsi sebagai pinjaman pelaburan kepada Armada Holdings Sdn. Bhd.
Peguam Hamidi Mohd. Noh berhujah, Yayasan Akalbudi tidak mengalami sebarang kerugian kerana wang RM10 juta telah dipulangkan oleh syarikat itu beserta faedah hampir RM70,000 yang dijelaskan melalui dua keping cek.
Wang itu merupakan pinjaman bagi membolehkan syarikat tersebut mendapatkan tender daripada TNB Fuel Services Sdn. Bhd. sebagai pembekal arang batu dari Indonesia.
Hujah beliau, keterangan itu diperolehi daripada saksi pendakwaan ke-21, Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Armada Holdings.
Pada perbicaraan lalu, Wasi Khan dalam keterangannya menyatakan, pada 2015 syarikatnya memerlukan modal berbayar RM10 juta sebagai memenuhi syarat minimum untuk mendaftar kepada TNB Fuel Services Sdn. Bhd. sebagai pembekal arang batu dari Indonesia.
Bagaimanapun, Armada Holdings tidak mempunyai wang sebanyak itu dan Wasin Khan meminta pertolongan beberapa kenalan termasuk Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang kemudian mengatur pertemuan mereka dan Ahmad Zahid.
Namun demikian, pihak pembelaan menghujahkan, pendakwaan tidak memanggil Datuk K. memberi keterangan sedangkan ahli perniagaan itu melakukan beberapa pertemuan dengan Wasi Khan berhubung wang RM10 juta itu.
Hamidi selanjutnya berhujah, berkaitan pertuduhan pecah amanah wang Yayasan Akalbudi sebanyak RM1.3 juta, pendakwaan menyatakan wang itu merupakan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia bertujuan membayar gaji pemain bola sepak yang tertunggak dan urusan pentadbiran persatuan.
Hujahnya, Ahmad Zahid tidak melakukan pecah amanah kerana pemegang-pemegang amanah dalam Yayasan Akalbudi mengetahui sumbangan tersebut dan tidak mengemukakan bantahan berhubung pengeluaran wang daripada akaun yayasan.
Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929