fbpx

Lima ceti haram masuk perangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis mematahkan sindiket ah long.

SEREMBAN – Kegiatan sindiket ‘ah long’ yang aktif memberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri ini berjaya ditumpaskan dengan penahanan lima lelaki warga tempatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 42 tahun itu  ditahan dalam tiga lokasi lokasi berbeza di Seremban, Nilai dan dan Bandar Baru Sendayan.

“Suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pemberian pinjaman wang tanpa lesen serta membuat ugutan dengan menyimbah cat merah pada kenderaan mangsa.

“Bertindak atas maklumat, polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat tangkapan pertama dengan menahan dua lelaki berusia 30 dan 38 tahun di Seremban pada Isnin lalu, katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mohamad berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang jurujual alat ganti kereta, 21, yang mendakwa kereta pacuan empat roda miliknya yang diparkir di hadapan rumahnya di Lukut, Port Dickson telah disimbah cat merah di bahagian cermin hadapan serta bumbung pada 29 Ogos lalu.

“Mangsa memaklumkan ada membuat pinjaman daripada lima ah long dengan jumlah keseluruhan RM100,000 pada 2019 yang mana pinjaman tersebut belum dijelaskan,” katanya yang membuat pinjaman melalui panggilan telefon.

Menurut Mohamad, seterusnya dalam tangkapan kedua pihak polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 20 tahun di Bandar Baru Nilai, Isnin lalu ekoran laporan polis oleh mangsa yang dikatakan diganggu oleh ah long.

“Pada bulan April 2021, mangsa seorang agen pengangkutan, 32, mendakwa telah membuat pinjaman peribadi RM8,000 melalui laman web Google tetapi hanya RM4,900 dimasukkan dalam akaun banknya.

“Mangsa mendakwa keretanya disimbah cat merah disyaki oleh ejen pinjaman tersebut selepas tidak dapat membuat pembayaran kerana mengalami masalah kewangan pada hujung Jun lepas, malah bayaran pinjamannya telah bertambah sebanyak RM20,000,” katanya.

Tambah Mohamad, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 42 dan 37 tahun dipercayai ah long selepas dikesan menggantung kain rentang bagi mempromosikan pinjaman wang tanpa lesen di Bandar Baru Sendayan di sini semalam.

“Polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Alza, satu tukul besi, 17 keping kain rentang pinjaman wang, 134 keping risalah tertera pinjam wang berlesen,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) atas kesalahan pemberian wang tanpa lesen dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sebanyak 30 kertas siasatan berkaitan kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long telah dibuka oleh JSJK di negeri  ini setakat September tahun ini.

“Jumlah itu dilihat meningkat berbanding keseluruhan 31 kes sepanjang tahun lalu dengan 13 individu dituduh di mahkamah.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan keadaan pandemik Covid-19 mendorong individu terdesak untuk meminjam wang dengan ah long, selain prosedur pinjaman yang mudah,” katanya lagi. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI