PETALING JAYA – Tiga individu nyaris maut selepas sebuah lori pembancuh simen terbabas dan melanggar dua buah kenderaan sehingga terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter di Flora Damansara di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.07 petang sebelum tiba 15 minit kemudian.
“Seramai 8 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara telah dikejarkan ke lokasi kejadian. Berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku selepas sebuah lori pembancuh simen yang dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an telah terbabas sebelum melanggar beberapa kenderaan.
“Lori berkenaan telah melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki seorang lelaki bersama penumpang wanita dan sebuah Toyota Hilux yang diparkir di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kemalangan terbabit telah menyebabkan ketiga-tiga kenderaan jatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira tiga meter.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu lori telah tersepit dibahagian hadapan dan berjaya dikeluarkan anggota bertugas manakala dua lagi mangsa turut berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan ringan. Pemandu lori berkenaan telah di bawa ke Hospital Sungai Buloh manakala dua lagi mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929