MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan notis kepada tiga pengilang dan satu pengimport yang dikenal pasti bagi menyiasat rungutan kenaikan harga ayam, sejak minggu lalu.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, notis itu akan diberikan pada minggu ini dan pihak terbabit perlu mengemukakan dokumen berkaitan kos pengoperasian serta jualan sejak tempoh tiga tahun lalu.
Katanya, tindakan tersebut dilakukan bagi mengesan punca kenaikan harga ayam sama ada bermula daripada peringkat ladang, rantaian (pengilang) atau peruncit.
“KPDNHEP akan mengeluarkan empat notis, masing-masing tiga kepada pengilang dan satu pengimport untuk mengesan dari awal sekiranya berlaku kenaikan harga ayam seperti yang dirungutkan pengguna.
“Mereka yang terlibat akan diberikan tempoh selama tiga hari untuk mengemukakan dokumen pengesahan maklumat barangan atau perkhidmatan dan notis bertulis di bawah 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi pemantauan harga barangan di sebuah pasar raya di Peringgit di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan menggerakkan lima pasukan terdiri daripada 30 penguat kuasa untuk menyiasat rungutan tersebut.
“Kita akan menyiasat di 13 lokasi dikenal pasti pada minggu ini untuk membandingkan harga yang dikenakan di setiap peringkat rantaian jualan ayam dari penternak, peladang, pembekal dan peruncit sebelum sampai ke pengguna.
“Kemungkinan harga ayam naik disebabkan ada peniaga mengambil kesempatan terhadap bekalan terbabit berikutan pertukaran fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan pelanggan makan di kedai,” katanya.
Katanya, setakat ini hasil pemantauan dilakukan mendapati harga ayam termurah adalah RM5.99 sekilogram dan paling tertinggi ialah RM9.80.
Dalam pada itu beliau berkata, KPDNHEP negeri sedang merangka cara membantu jualan ayam dapat dilakukan terus daripada penjual kepada pembeli tanpa menggunakan orang tengah.
“Kita tidak mahu membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak, apa yang kita boleh buat adalah operasi ketat selama seminggu sehingga Ahad ini dan melaksanakan langkah-langkah mengesan punca kenaikan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929