ALOR SETAR – Sebuah farmasi di pusat bandar ini dikenakan notis amaran apabila didapati menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) pada harga RM39.90 seunit melepasi harga runcit maksimum RM19.90 yang ditetapkan sejak Ahad lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Rae Morn Verak berkata, farmasi tersebut dipercayai menjual kit ujian kendiri pada harga tinggi dalam pemeriksaan yang dilakukan pada semalam.
Katanya, pihaknya kemudian mengarahkan farmasi berkenaan menyelaraskan harga kit ujian kendiri itu pada harga runcit maksimum RM19.90 bagi setiap set serta harga borong maksimum RM16.
“Difahamkan set ujian kendiri Covid-19 itu adalah stok lama dan farmasi tersebut perlu menyelaraskan harga serta berbincang semula dengan pembekal untuk mendapatkan harga seperti ditetapkan.
“Peniaga dan pengusaha farmasi diberikan tempoh seminggu hingga 12 September ini untuk membuat penyelarasan harga dari tempoh harga siling kit ujian kendiri berkuat kuasa pada 5 September lepas,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di beberapa farmasi di Simpang Kuala dekat sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929