GEORGE TOWN – Kadar indeks jenayah siber di negeri ini merekodkan peningkatan lebih 50 peratus pada tahun ini setakat September membabitkan kerugian mencecah RM7 juta.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, kadar indeks jenayah itu mencatatkan peningkatan kepada 433 kes atau 53.8 peratus dalam tempoh sembilan bulan.
“Pihak polis juga menjangka kes jenayah siber meningkat sehingga 62.8 peratus pada tahun ini,” katanya pada sesi townhall bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sementara itu Mohd. Shuhaily berkata, pada tahun ini juga, wujud satu lagi cabang jenayah siber iaitu penipuan tawaran kerja di platform beli-belah dalam talian popular dengan 80 kes telah dicatatkan di negeri ini.
“Sebelum ini, jenayah siber melibatkan Macau Scam, e-dagang, Parcel Scam, Love Scam, pelaburan dan penipuan tidak wujud sahaja.
“Namun ketika pandemik Covid-19 melanda, kita dapati ada pihak mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan iaitu menawarkan kerja yang tidak wujud di aplikasi beli-belah dalam talian dan ramai yang menjadi mangsa adalah golongan muda dan pencari kerja,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929