REMBAU – Seekor ular sawa menggemparkan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong, di sini, apabila reptilia itu dilihat memasuki longkang sekolah itu, pagi tadi.
Ketua Skuad Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Rembau, Koperal (PA) Muhammad Zul Hilmi Zaul berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan pada pukul 10.51 pagi dan sebaik tiba di lokasi didapati ular berkenaan berada di longkang tertutup bawah tangga sekolah.
Menurutnya, pihaknya berhadapan kesukaran untuk menangkap ular sawa itu memandangkan lokasi longkang berkenaan tertutup serta memerlukan kemahiran bagi menarik ular sawa berkenaan keluar dari lokasi tersebut.
“Pasukan mengambil masa hampir setengah jam bagi mengeluarkan ular sawa tersebut. Difahamkan ini merupakan kejadian kali kedua ular masuk ke lokasi yang sama di sekolah berkenaan di mana kejadian pertama pada Oktober tahun lalu.
“Reptilia seberat 10 kilogram dan tiga meter panjang itu kemudian dilepaskan kembali ke habitat asalnya,” katanya hari ini.
Untuk rekod, pada Oktober tahun lalu, reptilia seberat 25 kilogram dan sepanjang lima meter itu ditemui oleh seorang guru sekolah berkenaan yang melalui kawasan tersebut.
Ular berkenaan ditangkap oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929