fbpx

Lelaki Indonesia seludup 1,000 ekor lipan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki Indonesia ditahan selepas disyaki cuba menyeludup 1,000 ekor lipan hidup ketika pemeriksaan di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Pelik dan aneh tetapi itu yang terjadi apabila seorang penumpang warganegara Indonesia lelaki cuba membawa bungkusan berisi kira-kira 1,000 ekor lipan dari Batam, Indonesia di Terminal Feri Stulang Laut, di sini semalam.

Perbuatan itu disedari oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang membuat pemeriksaan di pintu keluar negara di terminal feri berkenaan.

Maqis Negeri Johor dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pada pukul 1 petang itu menemukan lipan hidup itu dalam bungkusan dibawa lelaki berusia 30-an terbabit.

Katanya, kira-kira 1,000 ekor lipan yang dianggarkan bernilai RM1,750 yang cuba dibawa masuk tanpa Permit Import Maqis oleh seorang penumpang feri dari Batam itu.

“Kesemua lipan hidup yang dibawa masuk itu adalah bertujuan untuk dijadikan makanan untuk ikan.

“Kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut. Ini adalah pertama kali cubaan membawa masuk lipan hidup ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Maqis menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI