LONDON – Jadual Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dikeluarkan sebentar tadi menyaksikan juara bertahan, Liverpool bakal menanti kunjungan pendatang baharu, Leeds United dalam aksi pembuka tirai saingan musim 2020/2021 di Anfield pada 12 September ini.
Atas kertas, The Reds dilihat tiada masalah untuk meraih tiga mata tetapi skuad bimbingan Jurgen Klopp itu tidak boleh memandang rendah kemampuan Leeds yang dinaikkan pangkat ke kancah EPL selepas menjuarai Liga Kejuaraan England baru-baru ini.
Selain Leeds, satu lagi pasukan baharu iaitu Fulham bimbingan Scott Parker bakal berdepan juara Piala FA, Arsenal di Stadium Craven Cottage pada 12 September.
Bagaimanapun, jadual saingan pembukaan EPL membabitkan Manchester City dan Manchester United terpaksa ditangguhkan kerana mahu memberikan lebih masa rehat kepada dua kelab Manchester itu yang baru sahaja menamatkan saingan Eropah baru-baru ini.
Aksi pertama The Red Devils sepatutnya menentang Burnley tetapi ditangguhkan dan dua perlawanan seterusnya mereka bulan depan dijadualkan menentang Crystal Palace (19 September) dan Brighton pada 26 September.
Selepas aksi pertama The Citizens menentang Aston Villa ditangguhkan, pasukan kendalian Pep Guardiola itu akan bertemu Wolverhampton Wanderers dan Leicester City pada 19 September serta 26 September. – K! ONLINE