PETALING JAYA – Selepas lebih dua bulan berada di Mesir atas nama misi kemanusiaan, penyanyi rap sensasi, Caprice akhirnya selamat tiba di tanah air.
Menerusi satu hantaran status dalam Instagram, Caprice atau nama lengkapnya, Ariz Ramli, memaklumkan perkara tersebut.
“Back in Kuala Lumpur! Terima kasih kepada pihak polis kerana memastikan semuanya selamat dari pintu pagar kapal terbang ke hotel kuarantin.
“Pertama kali naik van polis. Terima kasih juga kepada pihak-pihak yang bantu saya tadi. Alhamdulillah, rasa seronok dapat kembali ke tanah air,” tulisnya sebagai kapsyen dalam hantaran berbentuk video yang dimuat naik dalam Instagram sebentar tadi.
Dalam ruangan komen, Caprice, 33, sempat membalas usikan daripada seorang netizen yang mengatakan pelawak Zizan Razak tidak sabar untuk diberikan cenderamata patung Firaun.
Jawab pelantun lagu Lenglui itu bersahaja: “Nak Firaun besar atau kecil?”
Dalam video yang dimuat naik, kelihatan Caprice diambil sedikit informasi dan disanitasi oleh pegawai yang bertugas. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi hotel kuarantin yang didiami penyanyi rap yang juga aktivis kemanusiaan itu.
Terdahulu, Caprice tiba di Mesir pada 24 Jun bagi menyertai misi bantuan ke Gaza sebelum meneruskan penggembaraan solo ke Jordan kerana isu yang tidak dijelaskan secara terperinci.
Biarpun tidak dapat memasuki Palestin, dia tetap enggan pulang ke Malaysia malah meneruskan pelbagai aktiviti meluaskan jaringan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaaan di Mesir dan Jordan sepanjang bergerak solo.
Selain soal birokrasi dan kegagalan memasuki Palestin, nama Caprice turut menggelegak apabila diminta memberi keterangan kepada polis berhubung isu fitnah dan kes gangguan seksual melibatkan penceramah terkenal, Ebit Lew.
Sebelum berangkat pulang ke tanah air, Caprice juga sempat dikecam bukan menjayakan misi jihad ketika meneruskan kembara solo di Jordan sebaliknya demi rakaman dan pembikinan video muzik yang dikongsikan menerusi Instagramnya.
Caprice bagaimanapun tidak menjelaskan sebarang perincian mengenai video muzik yang tertulis perkataan ‘Tiger AlQuds’ dan ‘10.10.21’ tersebut. – K! ONLINE