KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan agar Kelantan perlu mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus daripada rakyat di negeri ini disuntik vaksin mengikut perancangan iaitu pada 30 September ini.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd. Shafriman Nik Hassan berkata, baginda turut menzahirkan rasa dukacita melihat Kelantan menjadi antara negeri yang mempunyai peratusan penerima vaksin yang terendah iaitu sebanyak 50 peratus.
Menurutnya, baginda turut mendesak rakyat Kelantan yang belum divaksin supaya mendaftar untuk menerima vaksin atau mendapatkan vaksin secara walk-in di pusat pemberian vaksin di seluruh negeri agar dapat mencapai imuniti kelompok mengikut perancangan.
“Baginda mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan kepada Kelantan bagi membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin.
“Baginda benar-benar berharap agar rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya dapat melindungi diri sendiri dan ahli keluarga mereka.
“Sultan Kelantan juga bertitah bahawa mengambil vaksin adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nik Mohd. Shafriman, baginda telah merujuk kepada resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, baginda turut menyarankan supaya semua pihak menggembleng tenaga memperluaskan Program Outreach Vaksin Covid-19 di seluruh pelusuk negeri Kelantan terutamanya di kawasan kampung dan pedalaman supaya masyarakat yakin akan keberkesanan vaksin selain tidak bersangka buruk terhadap vaksin.
“Baginda amat berharap rakyat akan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok.
“Seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik dengan hospital tidak lagi terbeban dan rawatan untuk pesakit-pesakit lain tidak terjejas,” katanya. – K! ONLINE