PETALING JAYA – Selepas lima bertahun menceburkan diri dalam dunia hiburan dan tiga tahun memasang impian untuk memiliki kenderaan sendiri, pelakon Riena akhirnya berjaya memiliki sebuah kereta jenis Mazda CX5 .
Kenderaan pertama hasil titik peluhnya sebagai anak seni itu dibeli sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-24 pada 3 September lalu.
“Sebenarnya, saya banyak terhutang budi kepada kereta Perodua Myvi yang dipinjam daripada bapa saudara.
“Biarpun kerap rosak dan tiada pendingin hawa, namun banyak jasanya kepada seorang yang bernama Riena Diana,” kata penyampai radio Hot FM itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Pemilik nama lengkap, Nur Qamarina Diana Zulreal, 24, itu berkata, dia bersyukur impiannya memiliki kereta sendiri menjadi kenyataan selepas beberapa kali permohonan pinjaman ditolak pihak bank.
“Sudah lama saya nak beli kereta, sejak mula-mula menjadi pelakon lima tahun lalu. Tetapi, pada waktu itu belum ada rezeki. Buat permohonan pinjaman bank untuk membeli kereta termasuk Perodua Myvi tetapi tak lepas (gagal).
“Alhamdulillah, pada tahun ini walaupun dihimpit pandemik Covid-19, saya dapat membeli kereta sendiri. Kereta ini dibeli selepas dicadangkan sahabat saya, Uyaina Arshad.
“Dia yang meyakinkan saya untuk membeli kerana memiliki kenderaan model yang sama,” katanya.
Ujar pelakon yang terkenal dengan watak Lailer dalam Kampung People itu, dia tidak pernah berasa malu memandu Perodua Myvi tanpa pendingin hawa sebelum ini.
“Kata orang bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Kereta (Mazda CX5) tidaklah semewah mana, tetapi saya sangat bersyukur,” katanya.
Kenderaan Mazda CX5 berharga RM132,403 sehingga RM174,852 mengikut spesifikasi.