Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH – Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Tok Aji, Kampung Gong Kulim di sini sudah mampu menarik nafas lega apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menangkap seekor buaya tembaga di sungai tersebut semalam.
Buaya tembaga sepanjang kira-kira tiga meter dengan anggaran berat 50 kilogram itu dipercayai sering timbul di permukaan sungai sejak sebulan lalu dan ia menjadi ancaman kepada penduduk tempatan apabila haiwan ternakan mereka dibaham reptilia itu.
Lebih membimbangkan, keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak yang sebelum ini sering mandi dan bermain di pinggir sungai berkenaan turut terancam.
Seorang penduduk, Mohd. Nor Deris, 60, berkata, dia bertindak melaporkan penemuan buaya itu kepada Perhilitan selepas beberapa ekor ternakan itik seratinya dibaham oleh haiwan reptilia itu.
Katanya, dia berasa amat lega apabila sang bedal itu telah ditangkap sekali gus tidak lagi mengancam nyawa penduduk setempat untuk melakukan aktiviti di kawasan sungai.
“Beberapa ekor itik serati ternakan saya mati akibat dibaham buaya pada waktu lewat malam. Keadaan itu menyebabkan saya bimbang dan bertindak melaporkan kejadian itu kepada Perhilitan.
” Keselamatan cucu-cucu saya lebih utama kerana lokasi sungai hanya 10 meter dari rumah dan dua meter sahaja dari reban itik. Lokasi itulah tempat cucu-cucu saya bermain,” katanya ketika ditemui Kosmo di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, buaya tembaga itu hanya muncul sekitar pukul 11 hingga 12 tengah malam itu mencari makanan.
Katanya, sungai itu juga menjadi tumpuan pemancing setempat untuk memancing udang dan ikan patin.
“Ini merupakan kejadian pertama sejak saya tinggal di sini sejak 30 tahun lalu. Selama ini, tidak pernah haiwan ternakan dibaham buaya.
“Meskipun berlaku kes ini, terdapat banyak lagi haiwan ternakan milik penduduk setempat dilepas dan masih bebas berada di sepanjang sungai ini,” katanya.
Tambah Mohd. Nor, berdasarkan cerita penduduk, buaya dari jenis yang sama sering dilihat kaki pancing turun memancing menggunakan sampan pada waktu malam.
Sementara itu, sumber dari Perhilitan Kelantan mengesahkan kejadian penangkapan buaya di sungai tersebut.
Katanya, Perhilitan telah mengambil tindakan segera dengan memasang perangkap sejurus menerima aduan daripada penduduk dengan menggunakan umpan seekor itik.
“Kita telah pindahkan buaya tersebut ke tempat yang lebih selamat bagi mengelakkan konflik dan ancaman kepada penduduk terbabit.
“Kepada orang ramai yang menjumpai reptilia itu di kawasan sungai diminta tidak mudah panik. Sebaliknya terus memaklumkan kepada Perhilitan untuk langkah pencegahan dan tindakan lanjut,” katanya. -K! ONLINE