LAS VEGAS – Bintang Hollywood popular zaman 50-an, Marilyn Monroe didakwa dibunuh selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Ke-35, John F. Kennedy mendedahkan rahsia berkenaan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO) kepada mendiang, lapor akhbar Daily Star semalam.
Menurut pengarang buku berkaitan makhluk asing, Nick Redfern, Monroe dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara selepas diberitahu tentang rahsia tersebut.
Kennedy yang pernah dikaitkan menjalin hubungan sulit dengan aktres itu, bercerita kepada Monroe berkenaan piring terbang UFO yang terhempas dan mayat pelik yang disimpan di pangkalan tentera AS.
“Jika melihat kepada sejarah kematian Monroe, dia seperti didorong untuk berada dalam keadaan tekanan perasaan melampau dan kegelisahan tidak menentu hingga mengambil keputusan untuk membunuh diri,” kata Redfern.
Monroe disahkan mati di usia 36 tahun akibat pengambilan dadah berlebihan pada 1962.
Tambah Redfern, Agensi Perisikan Pusat (CIA) baru-baru ini mengeluarkan catatan fail yang mendedahkan tentang bagaimana untuk menjadikan jenayah pembunuhan seseorang kelihatan seperti mangsa penagihan dadah. – Agensi