fbpx

Bella Dowanna elak kontroversi murahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA DOWANNA

BELLA DOWANNA, sepotong nama yang masih hijau dalam industri seni tanah air, namun bakat besarnya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Membelek kisahnya, kanvas kerjaya pemilik nama penuh Qystinna Istajibilla Dowanna Halim itu masih bersih daripada sebarang catatan kontroversi yang menghitamkan namanya.

Ujarnya yang mesra disapa sebagai Bella, dia memilih untuk mengelak daripada terjebak dalam mana-mana kisah murahan, bimbang mencontengkan arang ke muka sendiri dan keluarga.

MELUPAKAN bidang bisnes, Bella kini memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang seni kulinari tidak lama lagi.

Hati-hati dalam media sosial

Tutur anak kelahiran Ipoh, Perak itu, definisi imej bersih bukan sekadar jauh daripada gosip cinta, bahkan termasuk juga mengelak daripada melakukan sebarang aksi atau tindakan yang membusukkan namanya sendiri.

“Imej bersih bukan hanya dengan elak terpalit gosip cinta murahan tetapi juga cara saya menjaga diri dalam khalayak ramai, termasuk semasa memuat naik sebarang hantaran media sosial.

“Zaman sekarang, memuat naik perkara yang membuatkan orang marah dalam media sosial juga boleh mencalarkan imej sendiri,” kata pelakon filem M4M4 itu.

Mengakui takut untuk berdepan kecaman, Bella lebih memilih untuk sangat berhati-hati ketika dalam apa jua tindakan mengendalikan platform media sosialnya.

“Ya, saya memang ada perasaan takut dikecam. Saya akan sangat berhati-hati dalam setiap hantaran termasuk memilih gambar dan kapsyen yang hendak ditulis.

“Sekarang zaman yang semua benda boleh nampak salah walaupun realitinya perkara tersebut benar,” katanya lagi.

Selain lebih berhati-hati, pelakon yang terkenal dengan watak Laura dalam drama Budak Tebing memberitahu, pendekatan ‘lantaklah’ dengan pandangan orang perlu diletakkan di tangga kedua.

“Perasaan ‘lantaklah’ saya letak di tangga kedua tetapi kadang-kadang terlepas juga rasa geram dalam media sosial.

“Namun realitinya saya memang pentingkan apa yang orang lain akan fikir dan bercakap mengenai hantaran yang bakal dimuat naik,” katanya jujur.

Berbicara tentang soal kerjaya, 2021 boleh dianggap sebagai tahun rezeki buat pelakon yang baru berusia 18 tahun itu.

PELAKON drama Cemburu Seorang Perempuan itu memilih untuk menapis terlebih dahulu setiap perkara yang hendak dikongsi dalam media sosial bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kecaman netizen. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Rezeki 2021, impian

Bintangnya kian menyinar tahun ini apabila tiga drama lakonannya ditayangkan secara berturut-turut.Bermula dengan Budak Tebing 2, Hatimu Sedingin Salju dan terbaharu, Hawa.

Bersyukur dengan rezeki tersebut, Bella menyifatkan semua yang diraihnya pada tahun ini sebagai pembakar semangat untuk bekerja lebih keras bagi meletakkan namanya sebaris dengan pelakon hebat tanah air lain.

“Syukur alhamdulillah tak sangka pula berturut-turut drama lakonan saya ditayangkan pada tahun ini.

“Rezeki dan tawaran berlakon juga semakin mencurah-curah. Mungkin ini hikmah di sebalik pandemik,” katanya lagi.

Bella juga bersyukur apabila semua watak lakonannya iaitu sebagai Laura (Budak Tebing 2), Syena (Hatimu Sedingin Salju dan Raudhah (Hawa) mendapat respons positif daripada penonton.

“Setakat ini tiada lagi sebarang kecaman yang saya terima mengenai watak yang dijayakan.

BELLA berpendapat gandingannya bersama Nadiya Nisaa dalam drama Hawa sangat mudah, sekali gus memenuhi impiannya untuk berlakon bersama aktres berkaliber itu.

“Bahkan saya juga suka dengan semua watak tersebut kerana seperti dekat dengan diri saya dan ramai juga puji lakonan saya,” tuturnya.

Sama seperti anak seni lain, dia juga turut memasang impian untuk muncul dalam mana-mana naskhah siaran platform penstriman terkenal, Netflix.

“Saya nak sangat masuk dan muncul dalam drama atau filem yang ditayangkan eksklusif dalam Netflix. Bukan mudah tetapi saya akan usaha.

“Selain itu, keinginan untuk memegang watak dalam drama atau filem aksi juga tidak pernah padam.

“Saya sukakan aksi lasak dan mencabar fizikal, harapnya ada rezeki saya nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI